Wednesday, 23 July 2014

Nyah selulit



Walaupun sesetengah orang memiliki tubuh badan yang cantik dan langsing, namun tidak semua bebas daripada mengalami masalah selulit.  Orang kurus juga ada selulit, tetapi di satu-satu bahagian badan sahaja seperti paha atau perut.
Selulit merupakan tanda keregangan kulit apabila sel lemak membesar yang menekan dinding kapilari dan menyebabkan penahanan air. Lemak yang bercantum dengan kolagen akhirnya membentuk selulit.
Biasanya selulit terbentuk pada paha, pinggul, lengan, betis dan perut. Kebanyakan masalah selulit terjadi pada wanita akibat daripada penghasilan hormon estrogen. Perubahan metabolisme badan, diet yang tidak seimbang, fisiologi dan faktor genetik juga antara punca terjadinya masalah selulit.
Tetapi malangnya, selulit agak mustahil untuk dihilangkan. Walau apa cara sekali pun dilakukan, kesan selulit tidak akan hilang. Ia hanya boleh dikurangkan agar tidak menjadi terlalu ketara.
Antara kaedah yang boleh digunakan untuk mengurangkan masalah selulit adalah:
Sedut lemak
Ini adalah perawatan untuk membuang lemak di bahagian bawah kulit. Rawatan ini agak mahal dan hanya memberi kesan untuk jangka waktu pendek, selain mempunyai beberapa risiko.
Teknik urutan
Ramai berpendapat bahawa urutan dapat menghilangkan selulit. Dikatakan melalui urutan, saluran darah akan menjadi lebih lancar dan sel-sel lemak akan lebih mudah dihancurkan. Tetapi sebenarnya, urutan semata-mata tidak dapat menghilangkan selulit. Ini kerana sisa lemak akan tetap berada di bawah kulit anda. Justeru, anda perlu bersenam.
Amalkan gaya hidup sihat
Ini merupakan cara yang paling berkesan untuk menghilangkan lemak dan selulit. Gaya hidup sihat dapat membantu menegangkan otot dan kulit seterusnya mengurangkan pembentukan selulit.

Tinggi kalori jadi gemuk




MEMILIKI susuk tubuh yang kurus dan menawan sering menjadi impian ramai orang, namun sebaliknya bagi mereka yang berbadan kurus.
Kebanyakan orang kurus berada dalam keadaan tertekan kerana sukar menambah berat badan.
Hasil kajian menunjukkan ramai yang tidak berupaya menambah berat badan walaupun mereka mengambil pelbagai jenis makanan.
Kebanyakan mereka mengambil suplemen dan makanan berlemak tanpa mengetahui fungsi makanan itu.
Bagi tujuan tersebut, individu yang berhasrat untuk menambah berat badan disarankan mengambil makanan yang tinggi kalori seperti susu, keju, kacang dan mentega selain makan antara lima hingga enam hidangan setiap hari.
Namun begitu, mereka perlu mengelakkan pengambilan snek dan minuman ringan kerana ia dapat menggemukkan badan dalam waktu singkat tetapi berbahaya kepada kesihatan.

Friday, 18 July 2014

CENGKIH CEGAH TOKSIK




Cengkih mengandungi komponen yang dipanggil eugenol. Kandungan tersebut banyak diuji dalam kajian kesihatan, termasuk penyelidikan barah salur penghadaman serta radang sendi.
Di Amerika Syarikat, ekstrak eugenol daripada cengkih dimanfaatkan dalam bidang pergigian kerana ia berkait rapat dengan proses terapi kanal akar, penampalan lubang sementara dan rawatan kesakitan gusi.
Eugenol dan bahan lain dalam cengkih iaitu beta kariofilena menjadikan cengkih sebagai bahan anaestetik dan juga agen antibakteria.

Asas betul solekan

SALAH satu kesilapan solekan yang sering dilakukan oleh golongan Hawa ialah mengenal pasti tatarias yang bersesuaian dengan tona kulit dan rona yang bersesuaian dengan keadaan atau majlis.

1)  Solekan funki 

Solekan ini amat mementingkan bahagian mata kerana ia bahagian yang mudah untuk mencuri tumpuan orang ramai.
Solekan dimulakan dengan meratakan bedak asas  foundation  pada seluruh wajah menggunakan span.
Bersesuaian dengan tema, pembayang mata yang digunakan melibatkan rona kecoklatan atau lebih gelap di bahagian atas kelopak mata. Bahagian bawah kelopak mata pula diwarnai rona hijau yang lebih cerah.
Dua garis celak di atas garisan bulu mata dioles menggunakan celak cecair berwarna hitam untuk menghasilkan kesan dramatik.



2)  Solekan semula jadi

 Antara kesilapan utama dalam mengenakan solekan dalam rona semula jadi ialah pemilihan bedak asas dan pemerah pipi yang memberikan wajah kelihatan seperti badut.
Sehubungan itu, tumpuan harus diberikan dalam ‘mewarnai’ wajah agar kelihatan sihat berseri dan tidak nampak seperti dibuat-buat.
Bahagian wajah yang menjadi tumpuan ialah pipi. Jadi, pilihan yang baik ialah  dengan rona merah jambu.
Gantikan penggunaan bedak asas dengan krim tabir suria  kerana ia mempunyai tekstur ringan selain berwarna kulit.
Pastikan gincu yang digunakan berpadanan dengan warna pemerah pipi. Disebabkan itu, oleskan gincu jenis matte dengan warna nude sebagai pelengkap solekan.

 
3)  Solekan majlis makan malam 

Solekan untuk menghadiri majlis makan malam lazimnya lebih tebal dengan gabungan warna-warna terang dan menarik perhatian seperti merah hati.
Langkah yang paling mudah ialah memberi tumpuan pada bahagian mata. Barisan koleksi pembayang mata yang paling tepat  ialah pembayang mata berwarna  seperti ungu gelap, ungu lembut dan hitam untuk memberikan efek smoky eyes yang kelihatan seksi.
Selain itu, pemakaian bedak asas seperti foundation  merupakan alat solekan yang penting dalam tatarias majlis makan malam kerana ia memberikan ketahanan sepanjang malam.
Berikan sedikit seri pada bahagian pipi dengan menyapukan pemerah pipi berwarna coklat kekuningan bagi menambah kilauan di pipi.

Monday, 14 July 2014

Rahsia flos gigi


Seseorang digalakkan untuk memflos gigi sekali sehari.



Memberus gigi sahaja belum sempurna jika anda tidak menggunakan flos. Ia sebenarnya mampu membersihkan kuman yang tidak boleh dicapai oleh berus gigi biasa.
Jika anda tidak flos gigi, anda sebenarnya kehilangan sepertiga daripada permukaan gigi, kerana ia menjadi tempat ideal bagi lapisan bakteria membiak setiap detik.
Lebih teruk lagi jika seseorang mendapat penyakit gusi hanya kerana memandang remeh kepentingan menggunakan flos.
Kesukaran untuk menggigit dan mengunyah, bercakap dan nafas yang berbau adalah antara sebab kualiti hidup seseorang merosot.
Perkara sebegitu boleh terjadi hanya kerana anda tidak mengendahkan butir kecil kacang atau palitan karamel dan tofi gula-gula yang kekal terselit di sudut terlindung antara gigi.
Antara 24 hingga 36 jam, plak akan mengeras menjadi tartar dan ia hanya boleh dibersihkan oleh doktor gigi yang profesional.
Oleh itu, seseorang dinasihatkan agar menggunakan flos gigi sekurang-kurangnya sekali setiap hari bagi mengelakkan pembentukan tartar.

Kenapa Avokado Baik Untuk Tubuh Badan Kita?

Di Mexico dan Amerika Tengah, avokado terkenal sebagai buahan yang terdapat banyak manfaatnya dan sering menjadi keutamaan dalam pengambilan seharian. Tidak kira jika dimakan secara mentah atau jus , avokado terus menjadi sebahagian daripada diet harian kerana kandungan vitamin dan mineral yang tinggi untuk keperluan tubuh badan, malah ia  juga dapat mengurangkan risiko jangka panjang untuk pelbagai penyakit. Walaupun di Malaysia buah avokado bukan di ambil atau dimakan oleh kebanyakan kita, namun kita juga boleh mencubanya sebagai alternatif terbaik dalam diet pemakanan seimbang kita.
 Berikut adalah 6 manfaat Avocado kepada kesihatan tubuh badan kita.

 
1. Avokado  Sangat Kaya Karotenoid  Untuk Kesihatan Mata

Avokado mengandungi pelbagai nutrien, dan karotenoid (lutein, khususnya)baik untuk kesihatan mata serta melindungi daripada penyakit mata. Penglihatan merupakan salah satu aset yang paling berharga, pengambilan Avocado dalam makanan merupakan diet yang baik seimbang dan berkhasiat. Pengambilan sekurang-kurangnya sebiji setiap hari, adalah cara terbaik untuk mendapatkan manfaat karotenoid (dari lutein dan alfa-karotena untuk beta-karotena , tokoferol dan zeaxanthin) untuk keperluan badan kita.  Di samping rasa avokado yang sedap,  ia juga boleh ditambah dalam ramuan untuk membuat salad  - ini adalah  cara terbaik untuk meningkatkan pengambilan lutein harian anda, daripada pengambilan dalam bentuk  pil atau makanan tambahan.


 

2. Avokado Dapat  Mengurangkan Kadar Kolesterol Anda

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, terdapat dua jenis kolesterol/ lemak iaitu : kolesterol 'baik' dan kolesterol 'jahat'.  Kolestrol jahat pula boleh menyumbat laluan di arteri dan organ-organ penting anda.  Bagaimanapun dengan pengambilan avokado secara tetap ia dapat mengurangkan risiko penyumbatan tersebut. Dengan memakan avokado  yang mempunyai
kandungan folat yang tinggi , dapat menurunkan kolesterol anda dengan cara yang cepat, cekap dan secara semula jadi malah dapat mengurangkan risiko anda mendapat penyakit jantung.

3. Avokado dapat mengurangkan lemak serta berat badan anda

Avocado kaya dengan serat yang dapat memberi rasa kenyang untuk tempoh yang panjang dan membantu mengurangkan pengambilan makanan secara berlebihan  sekaligus dapat membantu mengurangkan berat badan.  Secara purata, sebiji avokado bersaiz sederhana mengandungi kira-kira 7 gram seratlarut dan tidak larut. Serat juga penting untuk kesihatan sistem imun ia membantu badan anda memecahkan karbohidrat serta membantu menukar ke sumber tenaga segera digunakan

Friday, 11 July 2014

Kunyit herba berkhasiat

 
Kajian menunjukkan kunyit dapat mencegah kita daripada pelbagai penyakit. Kita sering mengambil mudah apabila menyebut tentang khasiat kunyit kerana mungkin bahan ini sering kita temui di dapur.
Di Malaysia terdapat beberapa spesies kunyit liar yang kebanyakannya digunakan sebagai bahan ubatan tradisional. Antaranya ialah temu pauh (Curcuma mangga), temu emas (Curcuma zeodoria), temu putih (Curcuma auriantica), temu hitam (Curcuma aerugtinosa) dan temu lawas atau temu lawak (Curcuma xanthorthiza).

 

Lazimnya, kunyit banyak digunakan sebagai bahan ramuan dalam penyediaan ubat tradisional. Masyarakat kampung menggunakan perahan air kunyit bersama madu lebah dan minyak lenga untuk menyembuhkan bengkak hati.

 Tidak ketinggalan, kunyit berserta ramuan-ramuan lain juga digunakan untuk mengubati bengkak gusi, sakit dada dan perut, gangguan haid, dan melancarkan aliran darah. Sebatian kimia daripada kunyit juga telah dibuktikan dapat digunakan sebagai ramuan penghalau serangga seperti kumbang beras, anai-anai dan lipas.

Di sebalik keistimewaan kunyit sebagai bahan masakan, pakar-pakar dan hospital ternama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memberi perhatian tentang kehebatan herba ini.
Tahukan anda keistimewaan kunyit terletak pada ekstrak pigmennya yang memberikan warna kuning kepada kunyit?
Pengerusi Inisiatif Global untuk Sistem Tradisional Kesihatan (GIFTS), Oxford, United Kingdom, Prof. Gerard Bodeker berkata, kunyit diperakui oleh pakar dan hospital ternama di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mengubat pelbagai jenis penyakit.

Katanya, pigmen yang begitu besar khasiatnya dan berupaya mengubati pelbagai jenis penyakit dikenali sebagai curcumin.
"Curcumin ialah bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan daripada serangan penyakit. Ia juga dikenali sebagai bahan penyembuh terbaik dalam dunia perubatan tradisional dan moden.

"Sebiji pil daripada ekstrak curcumin seolah-olah mengambil 20 sudu teh serbuk kunyit. Pakar perubatan dari Pusat Kanser Texas turut mendapati, curcumin ada anti oksida yang mampu meneutralkan radikal bebas dan menjadi punca kepada penyakit barah," jelasnya.
Tambah beliau, radikal bebas ialah bahan kimia yang meresap ke dalam darah dan merosakkan sel dalam badan. Justeru, curcumin yang mengandungi komponen bioaktif polyphenol dapat membantu mencegah tanda awal barah.

Friday, 4 July 2014

Inai rambut lindungi uban

Kepentingan menjaga rambut bagi wanita mengambarkan personaliti seseorang wanita kerana rambut merupakan mahkota bagi seorang wanita.  Adalah penting menjaga rambut agar nampak lebih sihat dan cantik, namun seringkali kita mendengar keluhan wanita berkaitan dengan rambut gugur, kusam, bercabang, berbuah, berkelemumur dan kering

Rambut yang sihat dan cantik menjadi idaman setiap wanita, tetapi bukan mudah untuk mendapatkan rambut yang sihat apatah lagi jauh daripada kelumumur dan keguguran jika tidak kena dengan caranya.  Mengikut statistik, anggaran antara 30 peratus masyarakat hari ini mempunyai masalah yang serius dengan kulit kepala, manakala 10 peratus mempunyai masalah rambut berbuah.
Daripada itu ternyata orang ramai tidak begitu tahu bagaimana hendak menjaga rambut mereka, bahkan mereka juga tidak mengambil peduli akan kesihatan rambut masing-masing atau kesibukan sehingga mengabaikan penjagaan kebersihan rambut dan kulit kepala. 

Pemilihan shampoo yang bersesuai dengan jenis kulit kepala dan rambut dapat membantu merawat beberapa masalah kulit kepala berminyak, berkelemumur dan keguguran.  Rambut sememangnya memerlukan penjagaan rapi seperti mana penjagaan muka juga, statistik yang diperolehi, mendapati hanya satu peratus sahaja masyarakat yang betul-betul faham serta menjaga rambut mereka.Tambahnya lagi, bagi mereka yang memakai tudung, penjagaan rambut serta kulit kepala amat penting untuk mengelakkan kulit kepala bernanah, berkudis, berbau hanyir, serta berair disebabkan sentiasa tertutup.
Masalah-masalah ini juga sering terjadi kepada mereka yang bertudung kerana kepala sentiasa tertutup dan sekiranya mereka tidak menitik beratkan soal kebersihan dan penjagaan rambut sudah pasti akan menjadi lebih serius. Bagaimanapun bagi yang tidak bertudung juga turut mengalami masalah rambut.
Sekurang-kurang rambut harus dicuci sekali sehari bagi mengekalkan kebersihan dan kesegaran kulit kepala, kulit kepala yang bersih dan sihat akan memberi kecantikan rambut disamping pemakanan yang seimbang.
Cara hidup yang tertekan dan hormon yang tidak stabil turut menambahkan masalah yang ada sehingga wujudnya masalah-masalah rambut serta kehadiran uban yang lebih awal dari usia.


Rambut perlu dirawat sekurang-kurangnya empat bulan sekali untuk mengelakkan rambut kering dan rosak di bahagian hujung.


Malah bagi rambut yang beruban tidak perlu dicabut bahkan ia boleh diwarnakan semula dengan inai.
Penggunaan inai selain untuk menutup kembali uban, ia juga berfungsi untuk merawat kulit kepala di mana inai ini tadi akan meresap ke dalam kulit kepala dan memberi tindak balas pada kelumumur dan rambut yang gugur.

Bagaimana inai boleh merawat rambut supaya lebih nutrien dapat masuk ke dalam lapisan rambut selain memberi warna. Inai ini juga hanya disapu pada rambut yang beruban sahaja dan ia tidak disapu pada semua rambut dan sekiranya ia dicampur dengan limau nipis, ia boleh mengilatkan lagi rambut.
  



Proses untuk menginai rambut:-

1. Inai perlulah dibancuh terlebih dahulu dan dibiarkan kembang sebelum disapu pada rambut dan kulit kepala.  Ini kerana sekiranya terus disapu, keputusan yang akan diperoleh tidak berapa bagus.
2.  Proses yang mengambil masa 10 hingga 20 minit ini akan diteruskan dengan stim selama setengah jam dan secara keseluruhan proses ini mengambil masa sehingga dua jam.  Selain itu
campuran  kopi, teh, dan nescafe, boleh menghasilkan warna  yang diperoleh berbeza-beza. 
**Penggunaan pelembap dan juga minyak zaiton adalah digalakkan untuk menjaga rambut agar kekal sihat sepanjang masa.